d8bad8b2d988d8a9-d8a7d984d8aed986d8afd982-2

Hari Ini Dalam Sejarah Islam 31 Mac – Perang Khandaq

Hari ini 31 Mac 627M bersamaan 9 Zulkaedah 5H bermulanya peristiwa bersejarah Perperangan Khandaq (Arab: غزوة الخندق, Ghazwah al-Khandaq, “perperangan parit”) juga dikenali dengan Perang Ahzab (Arab: غزوة الاحزاب, Ghazwah al-Ahzab, “perperangan pihak yang bergabung”) merupakan peristiwa pengepungan Madinah yang dipertahankan oleh Rasulullah SAW selama lebih kurang empat minggu dari serangan suku-suku kafir Quraisy dan Yahudi yang bergabung, bermula pada 31 Mac 627M sehingga bulan April 627M.

Kekuatan gabungan Quraisy dan Yahudi dianggarkan seramai 10,000 orang tentera, dilengkapi 600 ekor kuda dan sebilangan ekor unta, manakala dipihak Rasulullah SAW pula terdiri daripada 3,000 orang tentera muslimin yang berada di Madinah.

Pihak Rasulullah SAW yang mempertahankan Madinah, menggali parit dan membina kubu mengelilingi Madinah berjaya menggagalkan pasukan berkuda musuh dari melepasinya sekali gus menimbulkan kebuntuan dikalangan mereka.

PicsArt_1427722457709

Pihak Gabungan merancang untuk membuat beberapa serangan secara serentak dan berjaya meyakinkan sekutu mereka Bani Quraizah, suku kaum Yahudi untuk menyerang kota Madinah dari arah selatan. Walau bagaimanapun, peristiwa rundingan dan diplomasi Rasulullah SAW berjaya menjejaskan rundingan antara pihak Gabungan dan Quraizah, lalu mematahkan pakatan yang menentang baginda.

Pertahanan tentera muslimin yang teratur, kejatuhan moral dan semangat pihak Gabungan serta keadaan cuaca yang buruk akhirnya menyebabkan kepungan itu berakhir dalam keadaan kelam-kabut.

Pengepungan ini merupakan sebuah “pertarungan kepintaran” yang menyaksikan musuh dikalahkan oleh Rasulullah SAW secara taktikal, dengan kaum muslimin menanggung kerugian yang kecil. Usaha-usaha untuk mengalahkan muslimin gagal dan Islam semakin berpengaruh di tanah Arab kesan peristiwa ini.

PicsArt_1427722541643

Susulan daripada itu, tentera muslimin mengepung perkampungan Quraizah, satu tindakan yang membawa kepada penyerahan diri tanpa syarat bani Yahudi tersebut.

Kekalahan dalam peperangan ini menyebabkan pihak Quraisy kehilangan kuasa dalam ekonomi, perdagangan serta maruah dan darjat mereka tercalar.

Pertempuran ini dikenali sebagai “Perang Ahzab” (Arab: غزوة الاحزاب). Al-Quran menggunakan perkataan “gabungan” (Arab: الاحزاب) dalam Surah Al-Ahzab [33:9-32] bagi menggambarkan gabungan orang kafir Quraisy dan Yahudi yang menentang Islam.

Nama pertempuran juga mengambil sempena perkataan khandaq (Arab: الخندق) yang bermaksud “parit” merujuk kepada parit yang digali oleh tentera muslimin semasa bersiap sedia untuk bertempur. Perkataan khandaq pula ialah perkataan Arab yang terbit daripada perkataan Parsi kandak (bermaksud “apa yang telah digali”). Salman al-Farisi menasihatkan Rasulullah SAW agar menggali parit dalam pertempuran ini.

Kesusahan dan kepayahan selama 6 hari menggali parit siang dan malam oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, digambarkan Rasulullah SAW sendiri turut menggali dan mengangkat pasir sehingga para sahabat melihat tanah-tanah meliputi dada baginda.

Ketika inilah Rasulullah SAW meningkatkan moral pasukan muslimin dengan hadis riwayat Imam Ahmad yang mashyur: “Constantinople (kini Istanbul) akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.” Baginda merujuk kepada tentera Muhammad al-Fatih yang merupakan sebaik-baik tentera dan raja sebaik-baik raja.

Disediakan oleh:
Biro Penerangan ISMA Kajang

Facebook: https://www.facebook.com/ismakajang
Twitter: https://twitter.com/ismakajang
Instagram: https://instagram.com/ismakajang

Web:
http://www.ismakajang.net
http://www.ismaweb.net
http://www.isma.org.my

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Tentang pengarang

Leave a comment