BANGI, 21 Julai – “Pekerjaan paling mulia di sisi Allah s.w.t. ialah sebagai pendakwah yang sepatutnya menjadi cita-cita setiap jiwa Muslim.”

Itulah antara kata-kata Pengerusi Biro Luar Negara ISMA, Prof. Madya Dr. Zainur Rashid bin Zainuddin kepada para peserta Kem Tautan Ukhuwwah 2014 di Sepang, baru-baru ini.

Menurut beliau, berada di luar negara kelak adalah satu peluang yang terbaik bukan sahaja dalam mengutip segala kalam ilmu yang ada di luar negara, malah menjadi medan terbaik untuk memahami dan mendalami erti hidup sebagai seorang yang beragama Islam.

“Kita berjauhan dengan segala keselesaan yang ada di Malaysia dan akan berada dalam negara dan komuniti yang tidak mengamalkan ajaran Islam. Inilah masanya peluang untuk kita kenali tarbiyah Islamiyah yang sebenar, tonjolkan keindahan Islam untuk diri sendiri dan seterusnya masyarakat sekitar melalui pergaulan dan qudwah,” ujarnya lagi.

Kem tahunan anjuran Biro Luar Negara ISMA yang berlangsung sejak hari Sabtu yang lalu mengumpulkan lebih 100 orang peserta dari seluruh tanah air yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara dalam tempoh terdekat.

Dalam sesi perkongsian bersama para senior pula, para peserta didedahkan dengan cabaran-cabaran semasa tatkala menuntut di luar negara kelak, antara lain dalam aspek pengurusan diri dan pengajian.

Di akhir ucapan, Dr. Zainur Rashid turut berharap agar semua peserta berjaya mencapai kecemerlangan di luar negara dan kembali berbakti di tanah air apabila tamat pengajian kelak.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Tentang pengarang

Leave a comment