Nazif Emran Farid

Nazif Emran Farid

Muhasabah sebagai amalan wajib dalam diri pendakwah

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian,

Pada pagi yang diberkati Allah SWT ini, saya ingin menyentuh tentang satu komponen di dalam agama kita yang tersangat penting iaitu muhasabah.

Dalam kita menjalani kehidupan sebagai ahli Isma yang inginkan keredhaan Allah SWT, muhasabah atau ‘self-reflection’ sepatutnya menjadi agenda wajib harian kita. Ini adalah disebabkan kita adalah tidak sempurna dan memiliki banyak kelebihan dan juga kekurangan. Kalau tanpa muhasabah harian, bagaimana kita nak ‘identify’ kelemahan dan merawat kelemahan kita?

Satu ukuran kita untuk mengetahui sama ada kita menjalankan tugas sebagai pendakwah ataupun tidak ialah melihat sama ada masa kita lebih banyak di medan dakwah atau di rumah. Sama ada masa kita lebih banyak untuk berselesa atau bersusah-payah. Sama ada kita bersegera melakukan tugas atau bertunda. Sama ada kita mencari penyelesaian atau banyak memberi alasan. Sama ade mad’u kita bertambah menjadi ataupun lari. Sama ada kita dihargai ikhwah akhawat lain atau dianggap sebagai bebanan.

Semoga kita tidak digolongkan ke dalam kumpulan ahli ibadat yang bermain-main. Ahli-ahli ini lebih berseronok dengan amalan-amalan cabang lebih daripada amalan-amalan utama. Ingatlah bahawa di luar sana ikhwah dan akhawat lain meletakkan harapan ke atas kita untuk menjalankan tugasan kita supaya hasil amal jamaie kita lebih berkesan. Ingatlah bahawa di luar sana ada ikhwah dan akhawat lain yang bertungkus lumus menjalankan tugas tetapi disebabkan kelemahan kita, maka hasil keseluruhan menjadi tidak cemerlang.

Saya faham bahawa kita semua ade komitmen masing-masing. Tetapi seperti seperti pesanan pendakwah terdahulu, manusia boleh menerima alasan. Tetapi adakah Allah SWT akan menerima alasan kita apabila kita berdiri di hadapanNya?

Muhasabah yang terbaik adalah daripada hati-hati ikhlas ahli perjumpaan atau mesyuarat. Tanpa berterus-terang dan sifat berbesar hati, maka sesi muhasabah tidak akan menjadi. Lupakanlah ego diri dan emosi kita dan terimalah teguran-teguran dengan terbuka. Sebelum tidur, renungkanlah hari kita yang lepas dan yang akan datang.

Berubah memang sesuatu yang susah. Tetapi itulah harganya untuk kita ke syurga Firdaus. Mujahadah kita untuk berubah kepada yang lebih baik akan menentukan sama ada kita ini manusia yang ikhlas ataupun tidak.

Semoga kita semakin maju ke hadapan atas usaha-usaha muhasabah kita. Semoga apabila kematian datang tidak lama lagi, kita akan mati dengan tenang kerana selesai semua tanggungjawab kita. Mati sudah sangat hampir. Adakah kita sudah bersedia?

Semoga Allah SWT mengampunkan kita semua.

Nazif Emran Farid
Yang Di-Pertua
Isma caw. Kajang
16 Februari 2016

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Tentang pengarang

Leave a comment