1. Program Back to School, Nazim

4 Jamadilawal 1439H, Ahad – Program “Back to School” anjuran Kelab Anak-anak Hebat (Nazim) cawangan Kajang telah diadakan di Surau Raudhatul Firdaus, Impian Murni, Kajang. Program pertama tahun 2018 ini mendapat penyertaan seramai lebih 60 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak sekitar Taman Impian Murni. Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik telah diadakan seperti latihan amali solat sunat dhuha, lantikan imam, perkongsian pengajaran dari kisah Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as dan sebagainya. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk menghadapai sesi persekolahan yang baru bermula disamping merapatkan hubungin silaturrahim antara ibubapa anak-anak Nazim. Program ini berakhir pada kam 11.30 pagi dan setiap peserta pulang dengan membawa set alat tulis beserta tshirt istimewa Nazim.

2. Usrah Wanita, “Tangan yang menghayun buaian, bisa menggoncang dunia”.

4 Jamadilawal 1439H, Ahad – Siri Usrah Wanita pada tahun baru 2018 anjuran Biro Wanita Isma Kajang dimulakan dengan kupasan tajuk yang sangat menarik iaitu “Tangan yang menghayun buaian, bisa menggoncang dunia” oleh Ustazah Raihana bt Zainal Abidin di Pusat Komuniti Isma Kajang. Sejak awal pengenalannya, usrah wanita telah diadakan secara berkala dan konsisten dengan kekerapan sebulan sekali serta dihadiri oleh golongan wanita di sekitar Saujana Impian, Kajang. Matlamat utama penganjuran usrah wanita adalah untuk memberi pengisian rohani kepada kaum wanita disamping merapatkan hubungan antara ahli Isma Kajang dengan masyarakat setempat.

3. Riadah Mingguan dan Gotong Royong Isma Kajang

4 Jamadilawal 1439H, Ahad – Menjadi rutin bagi ahli Isma di seluruh negara untuk melakukan aktiviti riadah pada setiap minggu di cawangan masing-masing. Tidak terkecuali dengan cawangan Kajang namun keunikan sesi riadah pagi Isma Kajang dilazimi dengan acara gotong-royong membersihkan kawasan padang dan taman permainan. Inisiatif ini mendapat sambutan yang baik oleh masyarakat setempat. Riadah Isma kajang kebiasaanya bermula seawal jam 7.30 pagi, dimulakan dengan aktiviti gotong-royong, seterusnya riadah futsal dan diakhiri dengan kalam tarbawi untuk para hadirin iaitu pengisian tazkirah ringkas. Riadah mingguan menjadi satu aspek yang sangat penting dan diberi penekanan dalam dakwah Isma kerana dakwah yang berkesan perlu dimulakan dengan tubuh badan yang sihat dan cergas.

4. Latihan Ping-pong, Kelab Remaja Isma (KRIM)

4 Jamadilawal 1439H, Ahad – Antara tarikan dakwah yang terdapat di Isma cawangan Kajang adalah melalui sukan ping-pong. Sukan ping-pong digemari oleh pelbagai lapisan umur termasuklah golongan remaja. Kelab Remaja Isma, KRIM cawangan Kajang mengambil kesempatan dan peluang ini untuk mendekati para remaja melalui latihan ping-pong yang diketuai oleh Ustaz Mohd Suhail bin Mohd Sufian yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Isma cawangan Kajang. Beliau memanfaatkan kemahiran dan bakat yang dimiliki sejak di bangku sekolah untuk mengajar para remaja di sekitar Taman Impian Murni secara percuma.

5. Karnival Lepasan Sekolah (KLS 2018), Kelab Remaja Isma (KRIM)

10 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Karnival Lepasan Sekolah 2018 (KLS 2018) telah berjalan dengan jayanya pada 27 Januari 2018 lalu di Fakulti Ekonomi, Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Program ini berjaya menarik seramai 47 orang peserta lepasan sekolah dari sekitar Kajang untuk mengetahui dan mendapatkan maklumat barkaitan kursus-kursus di universiti dan peluang kerjaya di masa hadapan. KLS kali ini merupakan siri kedua dianjurkan dengan inisiatif AJK KRIM Kajang bekerjasama dengan Persatuan Belia Islam Nasional, PEMBINA Kajang. Karnival Lepasan Sekolah merupakan program tahunan Kelab Remaja Isma yang dianjurkan serentak di seluruh negara sejak tahun 2008 dan penganjurannya pada tahun ini mensasarkan lebih 10,000 penyertaan.

6. Kelas Masakan Nasi Arab Siri I

11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Sejak diperkenal pada tahun 2016, Siri Kelas Masakan Nasi Arab mendapat sambutan yang sangat baik dan menggalakkan daripada para peserta. Pada tahun 2018, penganjurannya disusun dengan lebih baik dengan menampilkan pendekatan yang lebih praktikal dan penyertaan adalah terhad kepada 10 orang peserta sahaja pada satu siri. Objektif utama diadakan kelas memasak ini adalah untuk meningkatkan aktivisme dan penglibatan wanita Islam dalam aktiviti dan kemahiran yang dapat memberi manfaat kepada keluarga dan ummah umumnya disamping memperkenalkan Isma dan Pusat Komuniti Isma Kajang (PKIK) kepada masyarakat setempat. Siri I kelas masakan nasi arab ini telah dianjurkan dengan jayanya di Pusat Komuniti Isma Kajang dengan mendapat penyertaan penuh dan semua peserta berpuas hati dengan hasil masakan.

7. Kelas Berkala di Pusat Komuniti Isma Kajang.

Antara pakej yang ditawarkan di Pusat Komuniti Isma Kajang adalah Pakej Dakwah dan Pendidikan yang merangkumi beberapa siri kelas mingguan iaitu:

I. Kelas Tahsin dan Tajwid (setiap Rabu)
II. Kelas Bahasa Arab (setiap Selasa)
III. Kelas Tafsir (setiap Jumaat)

Kelas-kelas ini dianjurkan secara konsisten pada setiap minggu bermula 3 Januari sehingga 30 januari. Ia bermula antara jam 9 pagi sehingga 11 pagi dan 3 petang sehingga 5 petang untuk setiap sesi. Antara matlamat pengajuran kelas berkala ini adalah untuk memberi pendidikan kepada masyarakat tentang kepentingan menuntut ilmu agama tanpa mengira usia dengan kadar yuran yang sangat minima. Pakej- pakej lain yang ditawarkan di Pusat Komuniti Isma Kajang adalah:

I. Pakej Cilik
II. Pakej Wanita
III. Pakej Rekreasi dan Kesihatan
IV. Pakej Seni dan Media
V. Pakej Khidmat Masyarakat

Penganjuran dan penyusunan program-program di bawah pakej-pakej PKIK adalah untuk mendidik dan memberi khidmat kepada masyarakat yang meliputi semua lapisan umur dan minat.

Biro Komunikasi dan Multimedia,
Isma Cawangan Kajang

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Tentang pengarang

zulhelmi Mohd Nasir

Merupakan seorang ahli ISMA berdaftar yang memegang jawatan sebagai Setiausaha ISMA cawangan Kajang. Menetap di Sungai Ramal Dalam, Kajang dan bekerja sebagai Eksekutif di Telekom Malaysia Berhad, Cyberjaya. Sebarang pertanyaan boleh disampaikan ke emel: zulhelmi.mnasir@gmail.com
  • gplus

Leave a comment