MELAKA 11 Dis. – Masyarakat khususnya bukan Melayu dinasihatkan tidak cepat melatah berhubung saranan kerajaan negeri agar setiap papan tanda pada bangunan, jalan dan sekolah-sekolah vernakular menggunakan tulisan rumi dan Jawi kerana tindakan itu tiada kaitan dengan isu keagamaan.

Ketua Dua Gabungan Persa­tuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, tulisan Jawi sebaliknya melambangkan aspek sejarah dan peradaban manusia dan pernah digunakan secara meluas di negeri ini sejak ratusan tahun dahulu.

Menurutnya, bantahan terhadap penggunaan tulisan itu disifatkan sebagai ‘buta’ sejarah dan tidak matang kerana melalui tulisan Jawi dapat menyerlahkan lagi identiti kepelbagaian kaum di negeri ini selain dapat memartabatkan tulisan itu yang semakin dipinggirkan.

“Tiada masalah dengan pelaksanaan tulisan Jawi kerana tulisan itu bukanlah untuk menonjolkan Islam tetapi lebih kepada penonjolan aspek sejarah kerana ratusan tahun dahulu tulisan ini digunakan secara meluas bukan sahaja oleh orang Melayu, malah pedagang dari China dan India.

“Saya lihat ini adalah satu keunikan dan selain dapat memartabatkan tulisan Jawi serta menarik minat seluruh masyarakat untuk mempelajarinya seperti mana ada dalam kalangan orang Melayu yang meminati dan mengagumi kaligrafi Cina,” katanya.

Zainal berkata, mengaitkan tulisan Jawi dengan Islam adalah satu pemahaman yang salah dan sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan rakyat negara ini yang telah sebati dengan kehidupan majmuk dan faham mengenai sejarah peradaban manusia.

Sementara itu, Mohd. Nasruddin berkata, pekeliling yang telah dihantar ke semua sekolah termasuk sekolah vernakular di negeri ini mengenai saranan itu tidak memaksa pihak sekolah berbuat demikian, tetapi meminta mereka untuk bersama-sama kerajaan negeri mempromosikan tulisan jawi.

“Tiada paksaan kepada mana-mana sekolah vernakular, kita cuma minta mereka untuk bersama-sama kerajaan negeri terlibat dalam kempen memartabatkan bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi yang telah berjalan sejak tahun lalu lagi dan sekiranya mereka enggan terpulanglah,” katanya.

Ogos lalu, kerajaan negeri telah mengarahkan semua jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan tulisan rumi dan Jawi pada setiap papan tanda di bangunan masing-masing menjelang akhir tahun ini dan menyarankan agar agensi swasta, institusi pengajian tinggi dan sekolah turut mengambil bahagian.

Tindakan itu telah menimbulkan kemarahan dan keresahan segelintir pihak yang tampil menyatakan bantahan termasuk Persatuan Pendidikan Cina Progresif Melaka (PPCPM) serta MCA.-Utusan

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Tentang pengarang

Leave a comment