Ungkapan Merdeka saban tahun benar-benar menaikkan semangat masyarakat di negara ini. Ramai pihak berbincang dari sudut pengisian kemerdekaan untuk membangunkan warganegara yang merdeka. Bagaimanakah pula dengan kemerdekaan yang berkaitan dengan nilai-nilai dan hak wanita Islam? Wartawan ISMAweb, Siti Fatimah Ishak menemuramah Ketua Wanita ISMA, Ustazah Nor Saleha Mohd Salleh bagi mengupas isu ini.

Wartawan:  Apa pandangan ustazah mengenai makna kemerdekaan dari sudut kaca mata wanita Islam?

Ustazah Nor Saleha: Apabila berbicara tentang kemerdekaan, ramai orang berpandangan bahawa kita merdeka daripada penjajahan, merdeka daripada kuasa barat, kuasa British yang menjajah negara kita. Itu adalah pandangan umum masyarakat kalau kita bertanya. Tetapi apabila kita menyentuh tentang wanita Islam, saya mengajak untuk kita sama-sama menghayati firman Allah yang bermaksud, “Allah adalah wali kepada orang-orang beriman yang mengeluarkan orang beriman dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya keimanan.”

Bagi saya kemerdekaan bagi wanita Islam ialah apabila mereka berjaya mengeluarkan diri mereka dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam. Apabila kita berjaya melakukan amalan-amalan yang diperintah oleh Allah, melaksanakan perintah Allah, menegakkan perintah Allah dan membawa risalah Islam ke serata dunia dan masyarakat tanpa sekatan dan halangan. Pada saya itulah ertinya kemerdekaan bagi wanita Islam.

Wartawan: Berkenaan perjuangan hak wanita sepanjang 57 tahun kemerdekaan, sejauh manakah hak wanita diberi perhatian?

Ustazah Saleha: Menyentuh tentang hak wanita, saya lebih suka bercakap berkenaan hak wanita itu dari aspek tuntutan Islam. Adakah hak wanita dari sudut pandangan Islam itu sudah ditunaikan atau adakah wanita sudah menunaikan tuntutan Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah?

Apabila menyoroti kemerdekaan sebelum dan selepas kemerdekaan, kita dapati wanita Melayu ini ada ceritanya sendiri. Berdasarkan sejarah dan pengalaman, saya melihat ada beberapa fasa yang berlaku dalam wanita Melayu. Suatu ketika dahulu sebelum merdeka, masyarakat Melayu sangat berpegang teguh dengan agama. Kuatnya pegangan agama mereka ditunjukkan melalui betapa takutnya mereka sekiranya anak-anak gadis mereka terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat dan pengaruh yang merosakkan maruah kehormatan wanita.

Kesannya pada ketika itu kebanyakan wanita tidak dibenarkan untuk memasuki sekolah-sekolah Melayu. Ramai ibu bapa bimbang anak gadis mereka bercampur dengan lelaki-lelaki yang boleh merosakkan akhlak dan sebagainya. Kalau adapun, ianya kelas khusus untuk anak-anak gadis Melayu sahaja dan diasingkan daripada lelaki. Tetapi ada juga ibu bapa yang langsung tidak menghantar anak mereka ke sekolah. Mereka hanya memberi penekanan Al-quran dan Fardhu ain. Kesannya tidak dinafikan ramai ketika itu yang buta huruf dari segi akademik, tetapi dari sudut bacaan jawi, Al-Quran, fardhu ain, Alhamdulillah pendidikan Islam seperti ini mendapat perhatian dalam kebanyakan keluarga ketika itu.

Sehinggalah di awal 40-an dan 50-an, sudah ramai ibu bapa mula menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah Melayu dan sekolah di bawah seliaan gereja iaitu sekolah yang diselia oleh penjajah Inggeris ketika itu. Kesan daripada itu, sebagaimana kebimbangan ibu bapa sebelum merdeka, sedikit sebanyak kebimbangan juga wujud apabila berlaku fenomena perubahan dalam anak-anak gadis itu sendiri. Apatah lagi pengaruh daripada Pertubuhan Turki Muda atau Turki Baru ketika itu di bawah pemerintahan Kamal Ataturk telah memberikan kesan yang begitu besar kepada masyarakat Melayu di Malaysia. Kita boleh melihat, perubahan dan kesan penjajahan dan penerimaan masyarakat Melayu dengan nilai-nilai barat melalui filem yang dibuat sekitar 50-an, 60-an dan 70-an. Bagaimana pakaian mereka yang berlakon begitu menjolok mata, seksi dan masyarakat ketika itu tidak menolak pemakaian seumapama itu. Kenapa? Kerana pengaruh yang dibawa oleh Turki dalam masa yang sama dicampur dengan pengaruh oleh penjajah barat British ketika itu dan diadunkan menjadi satu sehingga menjadikan masyarakat Melayu dan gadis-gadis Melayu ketika itu untuk tidak kekok untuk hidup dalam suasana dengan pakaian dan kehidupan seumpama itu.

Sedangkan kefahaman Islam ketika itu hanya berlegar dalam melaksanakan rukun Islam sahaja. Cukup sahaja dengan mengucap, solat, puasa, zakat dan haji. Itu sahaja cukup untuk menggambarkan dia sebagai seorang Islam. Proses islamisasi atau perubahan kepada kebaikan, masyarakat mula menerima semula Islam serta melihat Islam sebagai cara hidup bermula di akhir tahun 70-an dan awak 80-an. Pada waktu itu masyarakat mula kembali kepada cara hidup Islam kesan daripada kepulangan graduan-graduan Timur Tengah yang mendapat pendidikan Islam yang mula membawa pemikiran Islam dan cara hidup Islam kepada masyarakat. Dari situ masayarakat mula melihat semula kehidupan hak yang perlu mereka tunaikan. Walaubagaimanapun istimewanya wanita Islam dari dulu hingga sekarang ialah mereka masih lagi tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang wanita dari aspek kekeluargaan. Kita melihat mereka masih mengetahui tanggungjawab seorang wanita masih lagi dalam rumah dan fenomena ini kita mesti pertahankan dalam masyarakat Islam.

Berkaitan dengan perjuangan dan wanita Islam untuk mendapatkan hak, kita dapati wanita Islam dari satu aspek, hak wanita Islam sentiasa diberikan. Aspek pendidikan, kesihatan, politik. Wanita Melayu Islam di Malaysia tidak pernah diabaikan daripada menyertai politik, mendapat pendidikan yang baik dan sebagainya.

Wartawan: Bagaimana pula pandangan Ustazah berkenaan ancaman agenda asing dalam kehidupan wanita?

Ustazah Saleha: Pertembungan hak dan batil ini sebenarnya sudah lama berlaku sejak zaman Rasulullah, sebelum Islam lagi. Jadi pertembungan ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Hak dan batil tidak akan bertemu. Begitu jugalah dengan kita wanita Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung kita akan berhadapan dengan musuh yang mahu menggugat dan menghancurkan nilai-nilai kewanitaan Islam itu sendiri. Kita semua jelas, usaha-usaha yang dilakukan oleh musuh Islam untuk merosakkan sebuah masyarakat dan identiti Islam adalah dengan merosakkan wanita. Ini bermakna merosakkan wanita yang menjadi induk dan generasi yang melahirkan keturunan, maka rosaklah masyarakat Islam itu.

Antara caranya ialah mereka merosakkan pemikiran dan membawa masuk agenda asing ke pemikiran umat Islam melalui filem, hiburan, bahan bacaan, media massa dan sebagainya. Itu memang satu perkara yang kita semua dah faham. Tetapi ketika ini ada satu fenomena baru yang merosakkan pemikiran wanita dan semua umat Islam dengan cara fahaman-fahaman asing. Pada hari ini mungkin kita melihat seorang wanita itu solat, menutup aurat, tetapi cara fikirnya adalah cara fikir yang lari daripada batas-batas agama. Cara fikir yang mahu membebaskan dirinya daripada ikatan agama. Cara fikir yang liberal dan bebas daripada hidup beragama. Seolah-olah agama itu hanya terikat pada fizikal sahaja, tidak pada jiwa, hati dan perasaan serta rohani.

Pada saya situasi seperti ini bahaya dari sudut akidah dan kepercayaan wanita Islam membentuk generasi akan datang. Jadi agenda asing yang merosakkan pemikiran wanita Islam ini banyak antaranya liberalisme. Fahaman, fikrah yang merasakan tugas wanita bukan lagi dalam rumah. Ya, ada fahaman yang mengatakan sebegitu dengan menganggap tugas wanita bukan lagi menuruskan rumahtangga. Wanita tidak perlu lagi mendidik anak. Jadi siapa yang perlu melahirkan anak? Apa tanggungjawab kita sebagai wanita?

Apatah lagi zaman ini ditambah dengan wanita mula sibuk dengan ‘smartphone’ dengan laman sosial, whatsapp, telegram, facebook dan lain-lain. Habis itu di mana tanggungjawab kita sebagai wanita?

Jadi kesimpulannya di sini ialah TV, hiburan kita dah jelas. Tetapi ada satu perkara agenda yang masuk secara halus yang kadang-kadang orang beragama ini pun boleh hanyut dan tersasar iaitu apabila kita terlibat dengan perkara yang saya sebutkan tadi, apabila kita memahami konsep wanita adalah bebas dari norma-norma kehidupan biasa. Sedangkan peranan kita sebagai wanita Islam, kewajipan kita, keutamaan kita adalah rumahtangga dan keluarga kita. Manakala tanggungjawab kita di luar rumah adalah tanggungjawab sampingan yang kita laksanakan kerana memenuhi tuntutan agama dan tuntutan amar ma’ruf nahi mungkar.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Tentang pengarang

Leave a comment